Memiliki cahaya mata adalah perkara yang sangat diidamkan dan dinantikan oleh pasangan suami dan isteri yang telah berkahwin dan lebih-lebih lagi yang baru sahaja berkahwin.
Hati mana yang tidak gembira jika dirinya disahkan oleh doktor telah hamil atau mengandung?
Pada hari ini usia perkahwinan saya telah memasuki bulan yang ke-5. Alhamdulillah kehidupan saya sangat bahagia bersama encik suami yang tercinta dialah suami,abang, kawan, imam tempat bermanja dan bergaduh.
Sungguh penantian itu amat menyeksakan. Sebelum berkahwin kami tidak pernah merancang untuk tidak memiliki anak dalam waktu terdekat. Jika rezeki menyebelahi kami untuk memiliki zuriat dengan segera kami tidak menolaknya malah amat menerima dengan sebaik-baiknya.
Jika diikutkan sebulan selepas perkahwinan saya mengalami demam yang amat teruk, muntah-muntah dan sakit kepala. Mujur suami sentiasa berada disisi menjaga dan merawat saya . Ibu mengatakan bahawa kemungkinan saya mengandung dan dalam masa yang sama haid telah pun lewat datang. Hati juga kuat mengatakan bahawa saya sedang mengandung. Namun tidak lama selepas demam mula kebah darah haid pula keluar.
Memang hati saya sangat kecewa pada masa itu tetapi mujur saya tidak terlalu berharap sangat untuk memiliki cahaya mata dalam tempoh masa perkahwinan yang masih awal. Meniti bulan-bulan yang seterusnya masih biasa bagi saya dan sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat secepat yang mungkin. Maklum sahaja umur pun telah meningkat dewasa meniti usia akhir 20-an. Sememangnya sejak dulu lagi saya tidak mahu kahwin terlalu lewat kerana tidak mahu anak-anak membesar apabila usia telah meniti usia 30-an. Walau bagaimanapun saya redha dengan ketentuan ilahi kerana Dia lah sebaik-baik perancang. Encik suami juga sangat memahami dan sentiasa memberi saya semangat dan kekuatan agar dapat mendidik hati supaya sabar dan tabah mengharungi ujian hidup.
Sememangya saya memang mengharapkan keajaiban akan berlaku dalam hidup saya dalam waktu terdekat ini. Siapa yang tidak cemburu apabila melihat kawan-kawan yang sebaya malah yang lebih muda telah pun mempunyai cahaya mata dan sedang menanti proses kelahiran bayi? Saya adalah salah seorang yang tidak terkecuali kerana teringin untuk memiliki cahaya mata sendiri dan mahu melihat ianya membesar dihadapan mata sendiri
Ya Allah kurniakan lah kami zuriat yang soleh dan solehah Ya Allah yang dapat mendoakan kebahagiaan kami suami isteri dunia sampai akhirat, dapat menjaga kami apabila kami telah tua pada masa kelak dan mewarisi harta-harta kami Ya Allah. Perkenankan doa hamba mu ini Ya Allah. Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Comments
Post a Comment